Undi pos akan tetap dilaksanakan ketika pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan terserah kepada mana-mana pihak jika mahu mengambil tindakan mahkamah mempertikaikan kaedah itu, tegas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
"SPR akan tetap melaksanakan pengundian pos. Anggota tentera dan pasangan mereka berhak untuk mengundi secara pos.
"Di bawah undang-undang, pengundi-pengundi ini dikategorikan sebagai pengundi yang tidak dapat hadir pada hari pengundian seperti biasa.
"Hak ini diberikan di bawah undang-undang... SPR hanya melaksanakan undang-undang ini," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang turut mengesahkan pihaknya akan memperjelaskan perkara ini kepada wakil-wakil PAS mengenai sistem pengundian pos, Isnin ini.
Wan Ahmad yang dihubungi mStar Online mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Yusmadi Yusof bahawa beliau akan membawa isu itu ke mahkamah jika pengundi pos, khususnya dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang tidak diberi pilihan untuk mengundi secara biasa atau secara pos.
Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang memberitahu, dengan mengenakan undi pos ke atas warga dan kelompok tertentu tanpa alasan yang munasabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, tindakan itu akan menyebabkan diskriminasi terhadap mereka.
Dalam hal ini, kata Yusmadi, beliau yakin ramai di kalangan warga dan kelompok tersebut seperti tentera dan polis yang tahu akan hak mereka, mahu menunaikan tanggungjawab mengundi seperti mana warga yang lain tanpa sebarang diskriminasi.
"Apatah lagi sekiranya ia dibuat secara paksa dan bukanlah melalui pilihan warga tersebut," kata beliau sambil menambah, bagi mengelakkan diskriminasi, SPR wajar membolehkan warga dan kelompok yang sebelum ini terpaksa mengundi secara pos, dibenarkan untuk mengundi secara biasa ataupun diberi pilihan sama ada mahu mengundi secara biasa atau pun secara pos memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain.
Isu pengundian pos kembali menjadi tumpuan menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang yang dijadualkan 11 Oktober ini.
Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada sejumlah 13,664 orang yang layak mengundi pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, seramai 4,604 merupakan pengundi pos.
Dalam temu bual dengan mStar Online 18 September lalu, Wan Ahmad sambil merujuk kepada situasi semasa pilihan raya kecil kerusi Parlimen Telok Kemang pada tahun 2000, menasihatkan Pakatan Rakyat khususnya PAS jangan mempertikaikan amalan undi pos di Bagan Pinang.
Semalam, kenyataan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa agar SPR memperbaiki sistem dan kaedah pengundian pos bagi menjamin kerahsiaan.
"Kita ulangi tuntutan supaya pengundian bebas, telus dan adil. Hak rakyat termasuk pasukan keselamatan wajar dihormati," katanya.
SPR HAIRAN
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya tidak melihat apa-apa sebab pihak berkenaan harus mempersoalkan proses pengundian secara pos.
"Itu hak mereka (pengundi pos) dan hak mereka diberikan dalam undang-undang. SPR tidak nampak apa-apa sebab mengapa ia harus dicabar.
"Ini undang-undang... apa yang hendak dicabar? Atas alasan apa hendak dicabar di mahkamah, tapi itu adalah undang-undang," katanya lagi.
Justeru, kata beliau, sistem undi pos akan diteruskan selagi adanya peruntukan undang-undang sedemikian.
"Jika mereka tidak bersetuju, bangkitkan di Parlimen, bolehkan undang-undang undi pos dipinda... tapi buat masa sekarang SPR akan melaksanakan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.
Petikan dari MyStar
KOMEN
Kita bukan mempertikaikan system undi pos, tetapi perjalanan undi pos tersebut. Sebagai contoh Pegawai Atasan Polis dan tentera tidak boleh berada didalam bilik mengundi dan kekalkan system mengundi seperti undi biasa itu saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan