Dua pemimpin PAS antara dua nama yang disebut-sebut bakal mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, kata ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan. Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata kedua-duanya adalah pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar dan yang dipertua kawasan Teluk Kemang Ramli Ismail.
Ramli, seorang anak tempatan di parlimen tersebut, merupakan calon PAS di situ pada pilihan raya umum lalu. Tambahnya, Ramli kini menetap di sebuah taman perumahan yang terletak dalam DUN Lukut - yang bersempadanan dengan DUN Bagan Pinang. Selain Lukut dan Bagan Pinang, tiga lagi DUN bawah parlimen Teluk Kemang: Chuah, Linggi dan Port Dickson.
Pada pilihan raya umum tahun lepas, allahyarham Azman Mohamad Noor menang atas tiket BN dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan Ramli yang memperolehi 4,097 undi . Menurut Mohd Khairil Anuar lagi, terdapat juga akar umbi PAS di DUN berkenaan yang mahu Zulkefly bertanding. "Akar umbi nak Zulkefly, sebab beliau seorang pesuruhjaya dan beliau patut ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Bagaimanapun, difahamkan Zulkefly lebih berminat meneruskan perjuangannya di kawasan yang ditandinginya dahulu, di Lenggeng dalam kawasan parlimen Seremban.Menurut ketua Pemuda itu lagi, badan perhubungan PAS akan bermesyuarat esok, selepas solat terawih bagi menentukan calon yang sesuai di DUN Bagan Pinang.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, yang juga ketua Umno bahagian, diura-urakan berminat bertanding di kerusi tersebut. Sementara itu, Zulkefly ketika dihubungi Malaysiakini petang ini berkata PAS negeri telah mengenal pasti "beberapa orang calon" untuk mewakili parti tersebut dalam pilihanraya kecil DUN tersebut. Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti dan jumlah calon tersebut.
Ditanya sama ada calon PAS pada pilihanraya umum Mac tahun lalu, Ramli Ismail akan dipilih semula bertanding di kerusi tersebut, Zulkefly berkata:
"Saya tidak berminat untuk beritahu. Yang penting, tidak ada sabotaj kepada calon PAS sebab kita tidak ada puak, kita tidak ada kroni," katanya. Tambahnya, nama calon akan diumumkan oleh pemimpin atasan PAS kira-kira seminggu sebelum pililihan raya kecil itu berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh tersebut Isnin depan.
Menurut Zulkefly lagi, ciri-ciri calon yang dicari termasuklah seseorang yang bersih daripada tuduhan rasuah, berwibawa dan diterima oleh ahli akar umbi dan mendapat kepercayaan pemimpin parti.
Pemimpin Umno bahagian Teluk Kemang umumnya ingin melihat mantan menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.
Ketua Pemuda bahagian Mohd Faizal Ramli berkata Isa, yang mengetuai bahagian itu, ingin dicalonkan lagi kerana beliau masih dihormati di kalangan pengundi. "Rakyat masih menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan beliau," katanya.
Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Faizal menegaskan pilihanraya kecil kali ini bukan boleh diambil mudah kerana ini BN tewas dalam tujuh daripada lapan pilihanraya kecil sebelum ini – satu daripadanya, di Penanti, tidak ditandingi.
"Ini bukan pilihanraya main-main, ia adalah satu pilihanraya yang kritikal," katanya, yang juga timbalan pengarah jentera pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang. "Dan ini adalah kubu kuat BN yang perlu dipertahankan majoriti malah perlu dipertingkatkan majoriti agar Umno dan BN masih relevan dan masih diterima oleh rakyat. Bahagian itu akan mengadakan mesyuaratnya Khamis ini bagi membincangkan calon yang akan bertanding di kerusi tersebut dan persiapan serta strategi jentera BN.
Diminta mengulas cadangan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang menyarankan calon kerusi tersebut dipilih kalangan wanita, Mohd Faizal berkata: "Sekarang bukan masanya untuk memenuhi sesuatu kehendak. Sekarang adalah masa kritikal untuk parti. "Saya sokong Tan Sri Isa, fokus kepadanya supaya jentera kita dapat bergerak lebih awal. Faktor calon penting iaitu yang diterima oleh rakyat dan parti," katanya.
KOMEN
Kalau tidak ada undi POS yang menentukan kejayaan, tidak ada siapa dikalangan UMNO/BN bersuara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan