Tun Musa Hitam bosan dengan politik yang berlaku dalam negara.
Itulah ungkapan bekas Timbalan Presiden Umno itu dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia hari ini.
Tun Musa pernah berkata Umno sudah tua. Tetapi malangnya, tiada usaha dalam Umno untuk "meremajakan" parti yang sudah tua ini.
Beberapa nasihat dan ungkapan Tun Musa pasti sukar diterima atau mungkin tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Umno. Malah ada di kalangan ahli-ahli Umno termasuk pemimpin generasi muda tidak mengenali Tun Musa.
Kata Tun Musa: "Saya ingin bercakap terus terang, saya bosan dengan apa yang terjadi di kalangan Umno sendiri yang mana saya sendiri pernah memegang pelbagai jawatan dan menjadi ahli berpuluh-puluh tahun dan masih menjadi ahlinya hingga kini."
"Kebosanan saya ini adalah bagaimana kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan kepada Umno dan Barisan Nasional berkecamuk begitu teruk hinggakan kita kalah banyak sama ada di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri."
1) Kecaman Tun Musa terhadap Umno kerana gagal mengawal negara.
"Keadaan politik negara sangat berkecamuk. Satu sebabnya ialah Umno tidak dapat mengawal Malaysia yang jauh bertukar dalam jangka masa pendek. Dan pemimpin-pemimpin Umno masih lagi berfikiran dengan cara dahulu. Iaitu andaian kita sentiasa menang dan berkuasa"
"Kita ada kuasa, kenapa kita tidak buat macam-macam. Inilah andaian dan pemikiran pemimpin Umno dari dahulu. Ini yang telah memusnahkan kita. Ada kuasa disalahgunakan kuasa atau membuat sesuatu tidak mengambil kira akibat serta pandangan masyarakat. Pada pendapat saya ia begitu teruk keadaannya."
2) Kecaman Tun Musa kepada mereka yang tidak mahu menerima kritikan.
"Tetapi kita masih alpa bahawa perkara yang sering kita hujahkan masih lagi berteraskan isu lama. Malah makin lama makin lapuk.
"Kita masih tidak sedar malah sesiapa yang menyatakan orang Umno telah lapuk akan dicap sebagai anti-Umno. Mereka terus tenggelam dalam dalam pemikiran bahawa kita akan memperjuangkan hak Melayu bermati-matian. Tetapi golongan baru dan terpelajar tidak berfikiran begitu. Logik mereka adalah lebih sofistikated dan pendedahan mereka kepada dunia luar lebih luas."
3) Kecaman Tun Musa terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Minta maaf saya sebutkan, selama 22 tahun di bawah kepimpinan Dr Mahathir perkara ini tidak disedari kerana beliau memimpin sebuah kerajaan yang kuat. Beliau dapat menjayakan pembangunan dari segi fizikal dan menjadikan kita berbangga dengan pelbagai pembangunan yang dilakukan."
4) Kecaman terhadap ketamakan ahli-ahli Umno.
"Malangnya yang masuk Umno itu pula kerana hendak dapat tempat. Ramai mereka beranggapan masuk Umno dapat bisnes, jawatan dan sebagainya. Ini sudah jadi budaya. Jika mereka sudah tanam modal untuk bertanding atau mendapat jawatan maka mereka ini akan mencari jalan untuk mengaut keuntungan atas jawatan yang dimenangi.
"Saya sedih dan bosan dengan perkara ini. Ada juga yang pada awalnya dilihat menonjol dan radikal namun bila masuk Umno sudah bertukar."
5) Rasuah, nepotisme dan kronisme dalam Umno.
"Akibat dari merasa kuasa itu kita punya telah mengakibatkan Umno dalam keadaan yang begitu tenat. Implikasi dari ayat kita berkuasa itu telah mengakibatkan kita membolehkan nepotisme, rasuah dan kronisme. Itu mentaliti yang menghantui kita sekarang. Perkara ini ada berlaku dahulu tetapi tidak seteruk sekarang."
"Tiap kali orang kritik, kita akan kutuk mereka. Kita langsung tidak mahu melihat sama ada kita salah atau tidak. Bila kita tengok dahulu orang Umno ini pakai kereta biasa sahaja tetapi bila dilantik menjadi ahli Parlimen ataupun Adun, rumah dan kereta pun bertukar. Bila ditanya mana dapat duit, mereka akan menjawab jangan tuduh tanpa bukti. Kemudian orang yang bertanya ini akan dicap anti Umno. Ini yang dinyatakan oleh golongan muda yang saya jumpa dan mereka ini ramai yang anti Umno."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan