KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang melabelkan Perlis sebagai negeri yang mengamalkan fahaman Wahabi.
Tuduhan itu sering dilemparkan termasuk melalui media massa dengan alasan Perlis tidak mengamalkan doa qunut semasa solat Subuh dan tidak berdoa beramai-ramai selepas solat untuk menidakkan amalan Sunnah yang diamalkan di negara ini.
"Sebagai Raja Perlis, saya amat dukacita dengan apa yang berlaku tersebut Tak baiklah buat kenyataan dalam akhbar atau TV. Lebih wajar dibawa muzakarah. Kalau apa yang dibuat di Perlis tak ikut syarak, tunjuk nas-nas lengkap, Perlis sedia mengubah (dari apa yang diamalkan sekarang)," titah baginda.
Raja Perlis bertitah demikian pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan 2020 di sini.
Turut berangkat Raja Perempuan, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu dan isteri, Datin Seri Asiah Asmuni.
"Jika tidak ada nas-nas kukuh yang boleh menguatkan hujah mereka mengatakan apa yang diamalkan di Perlis tidak betul, janganlah 'buat bising' sangat.
"Kalau tak mahu ikut Perlis, senyap sudahlah. Nanti kata pula, Perlis Darul Wahabi," titah baginda.
Baginda bertitah, pihak-pihak berkenaan tersebut harus faham bahawa Perlis tidak terikat kepada mana-mana mazhab sebaliknya menerima semua mazhab.
"Kalau ada sesiapa yang tidak puas hati tentang apa yang diamalkan di Perlis, boleh tulis surat kepada Jabatan Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Majlis Fatwa Negeri untuk berbincang. Kalau perlu bahas kita bahas untuk mencari kebenaran. Hentikanlah tuduhan yang tidak sepatutnya kepada Perlis," titah baginda.
Baginda turut menasihati pihak-pihak berkenaan di Perlis jangan pula sampaimengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang membuat tuduhan itu kerana jika ini dilakukan, penyelesaiannya tidak sampai ke mana.
Sementara itu, sebanyak 44 kontinjen menyertai perarakan sempena sambutanMaal Hijrah itu.
Pada majlis itu, Raja Perlis juga berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah kepada Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Prof Madya Datuk Syed Omar Al-Saggaf, 66, dengan menerima hadiah wang tunai RM5,000 sijil penghargaan dan hadiah iringan.
Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Padang Besar Utara pula diisytiharkan sebagai masjid terbaik peringkat negeri dengan menerima hadiah RM3,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan yang juga disampaikan Raja Perlis. BERNAMA
Eloklah begitu. Berlapang dada. Masaalah yang berlaku adalah disebabkan formula setiap 'action' akan ada 'reaction'. Bekas mufti dulu yang bermulut cabul kuat menghentam, perlekeh dan memperli orang2 yang tidak mengamal seperti diPerlis. Hatta imam2 yang tidak sealiran denganya cuba diganggu semasa beliau menjawat jawatan mufti dahulu,
BalasPadam