MULAKAN DENGAN

MULAKAN DENGAN

klik disini

Translate

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

INGIN MEMANCING DI LAUT CINA SELATAN

Rabu, 30 Disember 2009

ALFATIHAH GUS DUR MANTAN PRESIDEN INDONESIA MENINGGAL DUNIA


Mantan Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid, 69,yang lebih dikenali sebagai Gus Dur meninggal dunia di Rumah Sakit CiptoMangunkusumo (RSCM) di Jakarta pada kira-kira pukul 6.45 petang waktu Indonesia Barat, ahli politik Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) Ali Masykur Musa mengesahkankepada Bernama hari ini.

GERHANA BULAN SEPARA MALAM JUMAAT INI


Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku Jumaat ini 1 Januari 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431H bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi.

"Gerhana ini dijangka berakhir pada pukul 5.28 pagi. Gerhana yang jelas hanya dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu dari pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum," kata kenyataan itu.

Sehubungan fenomena itu, masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.

Ekoran gerhana yang berlaku semasa cuti sambutan tahun baru 2010, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semula jadi itu dan turut serta menunaikan solat sunat khusuf yang akan diadakan di Masjid Negara.

"Program yang merupakan anjuran bersama Masjid Negara, Jakim dan Agensi Angkasa Negara itu bertujuan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Islam," kata Jakim. - BERNAMA

Isnin, 28 Disember 2009

CUKAI PERKHIDMATAN UNTUK PEMEGANG KAD KREDIT


KUALA LUMPUR: Pemegang kad kredit boleh menjangka melihat jumlah cukai perkhidmatan yang patut dibayar dalam penyata mereka secara berasingan, yang mana dikenakan cukai semasa pengeluaran, pada tempoh genap setahunnya, atau semasa diperbaharui.

Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) hari ini berkata, sekiranya kad kredit baharu dikeluarkan tahun depan sah bagi satu tahun, cukai perkhidmatan RM50 akan dikenakan pada tarikh ia dikeluarkan.

Bagaimanapun, jika kad baharu dikeluarkan bagi tempoh lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh pengeluaran dan setiap tarikh genap setahun berikutnya.

Bagi kad sedia ada yang sah untuk lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh genap setahun pengeluaran bermula 2010.

Ini kerana cukai perkhidmatan RM50 yang akan dikenakan bagi setiap kad utama dan RM25 ke atas setiap kad tambahan hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan,seperti yang diumumkan dalam Bajet 2010.

Persatuan itu berkata, cukai perkhidmatan tersebut tidak terpakai bagi kad-kad lain termasuk kad debit, kad petrol, kad caj, kad kesetiaan dan e-wangseperti "Touch n' Go". - BERNAMA

Ahad, 27 Disember 2009

KATAK BERTANDUK DI KEDAH




KATAK GANJIL.... Seekor katak ganjil yang mempunyai seakan-akan tanduk di kepalanya menjadi tumpuan orang ramai di sekitar daerah Baling.

Katak berwarna kelabu ini ditemui seorang pemanjat gunung Mohd Khir Johari Mad Zin, 45, ketika mencari hasil hutan di Gunung Baling pada 26 Disember lalu.

Mohd Khir memberitahu , beliau tidak menyangka spesis yang ditemui itu katak, kerana tidak pernah menemuinya sebelum ini walaupun telah lama mendaki Gunung Baling.

Katak seberat hampir 300 gram itu tidak diketahui jenisnya itu kini disimpan di dalam balang kaca di rumahnya di Bengkel IKS KEDA Baling.

Walaupun ada pembeli menawarkan harga lebih RM200 untuk membeli katak itu namun beliau enggan menjualnya kerana mahu pihak tertentu membuat kajian lanjut mengenai spesies katak itu.

Malah beberapa penduduk warga emas yang ditemui di sini mengakui tidak pernah melihat katak seperti itu sebelum ini walaupun sering mendaki Gunung Baling untuk mencari pokok Paku Aji dan tumbuhan untuk ramuan ubatan tradisional. Bernama

Sabtu, 26 Disember 2009

KATAKAN TAK NAK PADA ROKOK


KUALA LUMPUR: Mulai Jumaat ini harga minimum rokok ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, dikira pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

"Ini menjadikan harga minimum bagi paket yang mengandungi 20 batang rokok ialah RM6.40, 21 batang rokok (RM6.70), 22 batang rokok (RM7.05), 23 batang rokok (RM7.35), 24 batang rokok (RM7.70) dan RM8 bagi paket yang mengandungi 25 batang rokok," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang sabit kesalahan melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Liow berkata dengan berkuatkuasanya peraturan itu juga semua syarikat rokok dikehendaki mengisytiharkan senarai harga jualan runcit produk keluaran mereka kepada kementerian sebelum 15 Januari ini.

Katanya semua rokok di pasaran tempatan hendaklah dijual pada harga tidak kurang daripada harga minimum rokok dan notis harga minimum itu hendaklah dipamerkan secara jelas di kaunter jualan tanpa logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi berkaitan rokok yang dijual.

Liow juga berkata penjualan rokok pada harga yang lebih rendah adalah dilarang bagaimanapun syarikat rokok dibenarkan membuat pelarasan harga hanya sebanyak tiga kali setahun dan perbezaan harga tidak boleh melebihi 5 peratus.

Menurutnya peraturan itu juga melarang penjualan rokok yang mempunyai label "diskaun, harga istimewa, tawaran istimewa, promosi, promo, edisi terhad dan tawaran" atau apa-apa perkataan lain yang membawa erti diskaun atau jualan murah berbanding harga jualan runcit pada bungkusan atau label rokok atau tempat jualan rokok tersebut.

Liow berkata tujuan peraturan itu dikuatkuasakan adalah untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutamanya oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

"Demi menjaga kepentingan kanak-kanak dan remaja dari terjebak dengan ketagihan rokok dan seterusnya kemungkinan risiko menyalahgunaan dadah dan penularan penyakit-penyakit kronik, kerajaan komited untuk mengambil pendekatan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok oleh golongan ini," katanya.

Liow berkata banyak kajian sama ada dari dalam mahupun luar negara membuktikan bahawa peningkatan cukai dan harga rokok mampu mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat terutamanya di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

"Hasil kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia akan dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok 3.8 peratus," katanya. BERNAMA

SAMBUTAN HARI NATAL BERTUKAR MENJADI KEGANASAN


GEORGE TOWN: Hiruk-pikuk sambutan Hari Natal malam tadi bertukar menjadi ganas apabila dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dibelasah teruk dan diserang dengan topi keledar oleh orang ramai yang sedang berpesta di sini.

Seorang jurukamera Bernama TV turut menjadi mangsa apabila dia ditumbuk pada bibir dan wartawan bertugas ditolak oleh pengunjung yang asyik berpesta sementara motosikal dan kenderaan yang melintasi Persiaran Gurney itu turut disembur dengan buih aerosol.

Pasukan petugas khas terpaksa campur tangan apabila sambutan yang disifatkan terburuk pernah berlaku di Pulau Pinang itu semakin tidak terkawal.

Sekumpulan lelaki yang terdiri daripada 10 orang tiba-tiba membelasah anggota Rela yang sebelum itu menahan rakan mereka kerana menyembur buih aerosol kepada pemilik kenderaan yang lalu dikawasan itu.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 12.30 malam itu, kumpulan lelaki itu bertindak ganas menendang dan menumbuk anggota Rela terbabit dalam percubaan menarik rakan mereka yang dalam lingkungan 20-an dari ditahan.

Serangan berlaku apabila anggota dan polis yang berpakaian preman sedang membawa suspek ke balai polis berdekatan.

Kejadian yang berterusan beberapa minit itu bagaimanapun berakhir apabila sekumpulan anggota Rela, polis dan pasukan petugas khas datang membantu mangsa dari terus diserang.

Kedua-dua mangsa mengalami lebam pada badan dan mengadu berasa pening selepas serangan itu.

Sementara orang awam yang melintasi jalan terkejut dengan situasi tersebut.

Terdahuluh wartawan bertugas diasak oleh pengunjung liar yang leka berpesta. Mereka kemudiannya diiringi angota polis keluar dari tempat kejadian.

Jurukamera Bernama TV, Gary Yeap, 20, yang membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani mendakwa dia ditumbuk dibibir.

Yeap turut melaporkan seorang lelaki mengugut untuk mencederakannya jika rakaman yang dibuat disiarkan di kaca televisyen.

Pada malam kejadian, ribuan pengunjung memenuhi kawasan popular di Pulau Pinang itu bersikap liar selain trafik juga menjadi buruk apabila pengunjung memenuhi jalan raya.

Kebanyakan mereka terutamanya anak-anak muda memegang tin semburan buih dan menyemburnya pada cermin kereta dan penunggang motosikal yang lalu di situ.

Ada di antara mereka mengangkat pengelap cermin kereta untuk mengelak pemandu mengelap semburan pada tingkap kereta mereka.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Gan Kong Men berkata, seorang pekerja kilang berusia 17 tahun ditahan selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, lima sekatan jalan raya telah dilakukan oleh pasukan polis pada hari itu supaya keadaan terkawal.

Gan berkata pihak polis sentiasa bersedia dengan kejadian seperti ini apabila sentiasa meletakkan unitnya pada tempat-tempat yang menjadi tumpuan terutamanya pada malam tahun baru.

Isnin, 21 Disember 2009

DI TERANGGANU BUKAN SAJA BANGUNAN RUNTUH DEWAN UNDANGAN NEGERI PUN PANAS


KUALA TERENGGANU:Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sebelum ini disifatkan agak lesu, hari ini bertukar rancak dan sekali sekala keadaan menjadi agak panas dengan soalan yang bertubi-tubi daripada penyokong kerajaan sendiri.

Semasa sesi soal jawab hampir satu jam pada hari pertama persidangan, beberapa soalan yang diajukan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said, menyebabkan keadaan sedikit tegang dan kadangkala sindir-menyindir kedengaran dalam dewan melibatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sendiri.

Sesi soal jawab pagi ini dimulakan dengan soalan daripada Din Adam (BN-Bukit Besi) yang mahukan penjelasan berhubung nama syarikat pengendali bijih besi di Bukit Besi dan manfaat kepada rakyat tempatan.

Menjawab soalan itu, Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat untuk melakukan perlombongan bijih besi di Bukit Besi yang terletak di Dungun.

Beliau berkata dengan pembukaan semula kawasan perlombongan di kawasan itu, ia dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 peratus daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Din minta penjelasan tentang nama syarikat yang dilantik dan kemampuannya selain mempertikaikan sama ada benar syarikat tersebut melantik 50 peratus rakyat Terengganu menjadi tenaga kerja situ.

"Saya hanya tahu mengenai pembukaan kawasan lombong itu melalui pekerja kawasan itu. Saya orang Bukit Besi, duduk di Bukit Besi dan menjadi wakil rakyat Bukit Besi tetapi tidak tahu menahu tentang perkara tersebut," kata Din.

Ahmad kemudian membalas, kerajaan Terengganu bercadang untuk membuka semula kawasan perlombongan di kawasan itu setelah perunding yang dilantik mengesahkan masih terdapat lima juta metrik tan bijih besi di situ.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri telah melantik tiga syarikat untuk mengendalikan pajakan selama lima tahun iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Shd Bhd yang kesemuanya beralamat di Terengganu.

Ahmad kemudian menyindir Din dengan menyatakan wakil rakyat itu kerap tidak hadir pada persidangan dewan dan jarang menjejakkan kaki di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyebabkannya tidak mengetahui pembangunan di kawasan sendiri.

Pertikaman lidah turut melibatkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) apabila beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad berkata beliau melihat perubahan pada persidangan kali ini sebagai satu petanda baik.

"Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan... seolah-olah sebagai parti pembangkang... tapi kita tidak kisah.

"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," katanya.

DUN Terengganu mempunyai 24 anggota BN dan lapan daripada Pas. - BERNAMA

PENGARUH BLOG TERHADAP MASYARAKAT TIDAK AKAN MATI


Pengaruh blog terhadap masyarakat di dunia ini tidak akan mati namun mungkin mengalami sedikit penurunan pada masa akan datang.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, penurunan tersebut berlaku kerana masyarakat mula minat terhadap penggunaan video klip secara online yang bakal mendapat tempat sedikit masa lagi.

Namun tegasnya blog tetap menjadi instrumen terpenting bukan sahaja sebagai penyebar maklumat biasa malah mampu membentuk kepercayaan politik kepada masyarakat untuk memelilih kerajaan yang dikehendaki.

Berucap sewaktu membentangkan kertas kerja di Konvensyen Blogger PAS hari ini, Abu Hassan memberitahu antara faktor besar kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalau adalah disebabkan kesan maklumat yang disebar melalui media baru di internet khususnya blog.

Abu Hassan yang juga Pengasas Zentrum Future Study Malaysia memberitahu, kajian yang dibuat mendapati blog menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.

Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 itu mendapati blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.

Lebih menarik lagi, diantara kesemua parti politik yang ada ditanah air, PAS adalah antara parti politik yang paling banyak dibicarakan melaui blog.

Malaysia menggunakan kemudahan internet hampir 92 peratus dalam pelbagai aspek kehidupan berbanding United Kingdom 66 peratus dan Amerika Syarikat 60 peratus.

Ketika ditanya kenapa berlaku perbezaan ketara penggunaan internet Malaysia dengan UK dan USA, Abu Hassan memberitahu ianya bergantung kepada amalan demokrasi negara masing-masing.

Jika sesebuah negara itu mendokong kebebasan bersuara, maka penggunaan internet mungkin tidak begitu tinggi berbanding negara yang mengokong kebebasan bersuara.

Ini kerana, rakyat yang terkongkong akan mencari dan menggunakan alternatif lain untuk menyalur dan mendapat maklumat khususnya saluran internet.

“Kerana lebuh raya yang ada di Malaysia ini satu arah sahaja, dan banyak tol, maka orang akan mencari jalan yang lain, yang ada ini primitif, konservetif dan kuno,” kiasnya ketika menjawab soalan mengapa penggunaan internet di Malaysia tinggi.

Tegasnya lagi, mereka yang pandai memanfaatkan media baru ini akan pasti dapat membina pengaruh besar dan PAS katanya harus bijak memanfaatkan kemudahan ini untuk survival parti itu.

“Di dalam zaman internet ini, krisis adalah perniagaan,” katanya.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Menguruskan Potensi Media Baru dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies’.

Lebih 300 peserta menyertai konvensyen blogger anjuran Lajnah Penerangan PAS di dewan Datuk Fadhil Nor, Taman Melewar hari ini. -Harakahdaily

Komen

Bila ada pilihanraya baru blog-blog dapat sambutan atau berita yang agak panas baru ramai pengunjung.

Sabtu, 19 Disember 2009

KU LI SEDIA BERI PENJELASAN ISU ROYALTI MINYAK DEMI FAEDAH RAKYAT KELANTAN


Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau bersedia memberi penjelasan berhubung isu tuntutan royalti minyak daripada kerajaan negeri Kelantan demi faedah rakyat Kelantan.

Beliau berkata penjelasan tersebut akan dibuat pada perhimpunan raksasa anjuran 51 NGO di Kota Bharu dalam masa terdekat bagi seluruh rakyat Kelantan untuk mendapat gambaran sebenar mengenai perkara itu.

"Buat masa ini saya tidak mahu komen lebih lanjut dan tunggulah masanya nanti kerana saya dijemput hadir pada perhimpunan berkenaan," katanya semasa berucap dalam perjumpaan dengan penduduk Kampung Mercu Jaya, dekat Gua Musang hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, badan NGO itu sudah berbincang dengannya dan beliau telah memberi persetujuan untuk hadir pada perhimpunan terbesar rakyat Kelantan dan tarikhnya akan ditetapkan nanti.

"Mungkin banyak pihak tertunggu-tunggu perkara yang saya nyatakan nanti tetapi diharapkan mereka memahami perkara sebenar," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan pusat mengumumkan pemberian wang ihsan menggantikan bayaran royalti minyak pada tahun depan kerana operasi carigali petroleum berada di luar tiga batu nautika daripada perairan Kelantan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kelantan akan mengemukakan tuntutan royalti minyak di mahkamah berjumlah RM2 bilion sejak operasi carigali petroleum bermula 2005, mengikut perjanjian Petronas-kerajaan negeri 1974, yang ketika itu Tengku Razaleigh merupakan pengerusi Petronas.

Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, beliau menerima banyak desakan untuk menjelaskan perkara sebenar royalti minyak itu berikutan kegiatan cari gali minyak membabitkan pesisiran pantai Kelantan.

Katanya, segala-galanya mengenai isu berkenaan ada dalam pengetahuannya

kerana royalti minyak itu mempunyai jumlah yang besar membabitkan berbilion ringgit dan memberi faedah kepada rakyat negeri ini.

"Jumlah itu jika dibelanjakan untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri ini memberi perubahan yang besar bagi seluruh daerah dan kemajuan berpanjangan.

"Oleh itu, saya sedia menerangkan apa yang sebenarnya terkandung dalam perjanjian cari gali minyak dan royalti yang sepatut diterimanya," katanya.- Bernama

Jumaat, 18 Disember 2009

SULTAN PERLIS DUKACITA DENGAN TINDAKAN PIHAK TERTENTU MELABELKAN PERLIS SEBAGAI MENGAMALKAN FAHAMAN WAHABI




KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang melabelkan Perlis sebagai negeri yang mengamalkan fahaman Wahabi.

Tuduhan itu sering dilemparkan termasuk melalui media massa dengan alasan Perlis tidak mengamalkan doa qunut semasa solat Subuh dan tidak berdoa beramai-ramai selepas solat untuk menidakkan amalan Sunnah yang diamalkan di negara ini.

"Sebagai Raja Perlis, saya amat dukacita dengan apa yang berlaku tersebut Tak baiklah buat kenyataan dalam akhbar atau TV. Lebih wajar dibawa muzakarah. Kalau apa yang dibuat di Perlis tak ikut syarak, tunjuk nas-nas lengkap, Perlis sedia mengubah (dari apa yang diamalkan sekarang)," titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan 2020 di sini.

Turut berangkat Raja Perempuan, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu dan isteri, Datin Seri Asiah Asmuni.

"Jika tidak ada nas-nas kukuh yang boleh menguatkan hujah mereka mengatakan apa yang diamalkan di Perlis tidak betul, janganlah 'buat bising' sangat.

"Kalau tak mahu ikut Perlis, senyap sudahlah. Nanti kata pula, Perlis Darul Wahabi," titah baginda.

Baginda bertitah, pihak-pihak berkenaan tersebut harus faham bahawa Perlis tidak terikat kepada mana-mana mazhab sebaliknya menerima semua mazhab.

"Kalau ada sesiapa yang tidak puas hati tentang apa yang diamalkan di Perlis, boleh tulis surat kepada Jabatan Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Majlis Fatwa Negeri untuk berbincang. Kalau perlu bahas kita bahas untuk mencari kebenaran. Hentikanlah tuduhan yang tidak sepatutnya kepada Perlis," titah baginda.

Baginda turut menasihati pihak-pihak berkenaan di Perlis jangan pula sampaimengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang membuat tuduhan itu kerana jika ini dilakukan, penyelesaiannya tidak sampai ke mana.

Sementara itu, sebanyak 44 kontinjen menyertai perarakan sempena sambutanMaal Hijrah itu.

Pada majlis itu, Raja Perlis juga berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah kepada Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Prof Madya Datuk Syed Omar Al-Saggaf, 66, dengan menerima hadiah wang tunai RM5,000 sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Padang Besar Utara pula diisytiharkan sebagai masjid terbaik peringkat negeri dengan menerima hadiah RM3,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan yang juga disampaikan Raja Perlis. BERNAMA

APAKAH REJAM SAMPAI MATI PENZINA ITU KEJAM

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian.Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukumun terhadap mereka sekumpulan dikalangan orang-orang yang beriman” (An-Nur:2, al Quranul Karim)








Bilakah Hukuman ini boleh dilakukan di Malaysia

Rabu, 16 Disember 2009

DIMANA SILAPNYA PENGUSAHA DALAM NEGARA, DIMANAKAH NASIB PEKERJA JIKA KILANG DITUTUP


ROMPIN - Lebih 75,000 liter susu segar keluaran First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (Fidaf) di sini yang sepatutnya dihantar ke kilang setiap hari sejak sejak bulan lalu terpaksa dibuang begitu sahaja ke dalam parit ladang berkenaan.

Ia jelas satu pembaziran tetapi kepada pengurusan Fidaf, mereka berbuat demikian untuk membuka mata pihak berkuasa selepas tiga syarikat pengilang susu enggan membeli hasil ladang syarikat tenusu terbesar di Semenanjung Malaysia itu atas dakwaan ia mengandungi bakteria selain desakan harganya diturunkan.

Susu keluaran Fidaf pada masa ini dijual RM2.40 seliter dan dikatakan mahal sedikit berbanding produk susu import dari Australia dan New Zealand.

Kesan daripada tindakan itu, Fidaf beroperasi lebih setahun lalu terpaksa menanggung kerugian lebih RM210,000.

Tindakan protes membuang susu ke dalam parit tu mengundang rasa sedih bukan sahaja kepada Pengarah Urusannya, Datuk Syed Muhd. Alwi Abdullah tetapi juga para pekerja yang melihat keringat mereka menjadi sia-sia dan masa depan menjadi samar-samar.

Semalam, Fidaf meneruskan lagi tindakan protes dengan membuang 16,500 liter susu segar ke dalam parit dengan Syed Muhd. Alwi berteriak bahawa mereka bukan sekadar membuang susu tetapi juga punca rezeki.

Beliau mendakwa pihaknya serta pengeluar susu tempatan lain semakin tersepit dan tidak lagi dapat menandingi bekalan susu import yang menguasai 95 peratus pasaran.




Selasa, 15 Disember 2009

MENEGAKKAN NEGARA ISLAM DAN MENJALANKAN HUKUM HUDUD TETAP MENJADI AGENDA PERJUANGAN PAS


PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dengan perjuangannya untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud kerana ia sebahagian tuntutan agama, tegas menteri besar Kelantan.

"Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat.

"Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja," kata Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga mursyidul am PAS, ketika diwawancara Malaysiakini Khamis lalu.

Beliau diminta mengulas pendirian PAS berhubung cita-cita besar parti itu apabila ia secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apabila gabungan didaftarkan.

PAS dan DAP sering bergeser berhubung isu negara Islam dan hudud sehingga memaksa DAP meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu berpayung bawah Pakatan Rakyat bersama PKR selepas kemenangan besar mereka pada pilihan raya umum 2008.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz bagaimanapun positif bahawa perbincangan berterusan berhubung perkara itu antara tiga parti utama tersebut boleh menjernihkan keadaan.

"Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah.

"Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain," katanya.

Diminta mengulas sikap beberapa pemimpin kanan DAP yang agak lantang dengan dua agenda PAS tersebut, seperti pengerusi DAP Karparl Singh, Nik Aziz secara sinis berkata:

"Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

"Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama."


Berikut petikan wawancara berhubung isu tersebut:

Hubungan dalam parti-parti Pakatan, selalu muncul isu hudud, kerajaan Islam. Setakat mana PAS sebagai parti yang perjuangkan Islam boleh berkompromi dalam perkara ini, yang selalu menyebabkan perselisihan faham dengan DAP?

Mana ada manusia boleh hidup senang dari muda sampai ke tua. Kadang-kadang kena kudis, doktor pun berkudis juga. Jadi, lumrah alam dan dunia memang begitu. Ada syaitan-malaikat, baik-jahat, syurga-neraka.

Tidak usahlah perkara ini. Hendak sebut, (sila) sebut. Tetapi kena dengar jawapan (kami). Kalau kamu seorang sebut, (tetapi) tidak hendak dengar jawapan, mana boleh.

Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah. Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain.

Cumanya, kita masih berpegang dan tidak akan berkompromi dengan idea negara Islam, dengan hudud?

Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat. Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja. Sembahyang pun kalau tidak betul cara ibadatnya, ditolak Allah.

Bagi kami (sebagai) pejuang Islam, semua kerja itu ibadat. Hatta ceramah pun ibadat. Orang hendak bagi duit minyak, bagi. Tidak beri, maka cicah roti denga budu. Biasalah dalam PAS ini, kerana kami dapat pahala.

Orang tolak Islam dapat pahala apa? Kita doa, itu (juga) ibadat. Orang Umno berdoa juga, doa dengan allah, Allah mana hendak terima (doa, sebab) kamu tolak Islam.

Bagaimana hasrat ini hendak jadi kenyataan sebab dalam DAP misalnya, orang mudanya agak OK tetapi orang lama macam pengerusinya Karpal Singh itu nampak keras sikit.

Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama.

Apa boleh buat? Nabi Muhammad dulu, bapa saudaranya Abu Talib membela baginda, tetapi dia tidak turut Islam. Apa boleh buat?

(Membaca hadis) Nabi kata, baginda ajar bapa saudaranya mengucap (dua kali syahadah), tetapi dia (Abu Talib) kata: 'kalau aku mengucap, aku malu.'

Malu (sebab) bapa saudara turut (ajaran) anak saudara. Biasanya anak saudara yang ikut bapa saudara. (Abu Talib kata,) 'tidak mengapalah, biar aku masuk neraka daripada tanggung malu.' Ada juga orang sebut macam itu.

Habis itu, kita akan terus beri nasihat? Berbincang?

Ya, nasihat, sebut, bincang. Saya suka sangat kalau orang tanya saya. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Tidak boleh jawab, saya kata tanya orang lainlah, saya tidak berapa faham.

petikan dari malaysiakini

LAGI CERITA KERAJAAN PERPADUAN PAS/UMNO


PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang dijalankan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berhubung dakwaan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Beliau meminta agar pihaknya diberikan masa untuk membuat penelitian dengan terperinci berhubung perkara berkenaan.

"Saya harap jangan ada pihak yang buat apa-apa andaian lagi, bagilah kami ruang untuk teliti perkara ini dengan lebih mendalam.

"Jangan buat spekulasi berhubung siapa yang salah atau siapa yang betul, kita perlu buktikan dahulu dengan fakta.

"Memang ada tuduhan, tapi tuduhan itu tak semestinya benar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini siasatan yang dijalankan pihaknya ke atas beberapa pemimpin PAS Selangor berhubung dakwaan terbabit.

Beliau sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima surat jawapan daripada Hassan dan beberapa lagi pemimpin Pas Selangor.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, Jawatankuasa Disiplin PAS akan bermesyuarat pada 23 Disember depan bagi meneliti mengenai dokumen-dokumen berhubung siasatan berkenaan.

"Saya sendiri dah tengok dokumen-dokumen berkenaan, tapi kami ahli jawatankuasa perlu duduk bersama untuk meneliti secara khusus.

"Lagipun saya baru pulang menunaikan haji di Mekah dan ahli-ahli lain juga ada yang ke luar negara... sebab itu siasatan ini tertangguh sebentar," katanya.

Tambah beliau, keputusan sama ada perlu memanggil Hassan dan beberapa lagi pemimpin lain untuk memberikan penjelasan akan diputuskan pada mesyuarat berkenaan.

"Bergantung pada hasil mesyuarat kita nanti, kalau ada kes terhadap beliau, mungkin kita akan panggil untuk beri penjelasan," katanya.


disunting dari http://www.mstar.com.my/


Isnin, 14 Disember 2009

APAKAH KITA AKAN MENGHADAPI PILIHANRAYA KECIL LAGI ?


Ahli Parlimen PKR kawasan Batu di Kuala Lumpur,Tian Chua berkata beliau tidak akan merayu seterusnya jika proses rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mulai 29 Januari ini kalah.

Katanya selepas satu forum dekat Kuala Lumpur Sabtu malam langkah ini adalah bagi memastikan satu pilihanraya kecil diadakan di kawasan itu.

“Saya tidak boleh fikirkan soal diri saya lagi tetapi untuk parti jika kalah dalam rayuan itu.Saya nak pastikan ada pilihanraya kecil di situ,”katanya.

Tian Chua menjangka jika beliau meneruskan proses rayuan ini boleh memakan masa dan melepasi tempoh had peraturan Suruhanjaya Pilihanraya dimana tidak perlu ada pilihanraya kecil jika seseorang wakil rakyat kosongkan kerusinya pada Mac 2011.

Beliau enggan mengulas harapannya dalam proses rayuan mulai 29 Januari itu.

Tian Chua bagaimanapun berkata beliau yakin PKR dapat menawan balik kawasan Batu sekiranya berdepan dengan calon BN-Gerakan di situ.

“Saya menduga berat sikit bagi kami jika calon UMNO bertanding di situ tetapi jika calon Gerakan kami pasti menang mudah,”katanya.

Pada 22 Okt lalu Tian Chua telah dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 kerana didapati bersalah gigit tangan konstabel Rosyaidi Anuar dalam pergelutan di jalan depan bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007.

Berikutan keputusan itu beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.Keputusan itu ditangguhkan sementara proses rayuannya selesai.-Agendadaily

Ahad, 13 Disember 2009

MESEJ DARI PEJUANG MELAYU PETANI

Rata-rata orang mengetahui apa yang telah berlaku di Patani khususnya pada 8-9 hb Disember 2009 yang lalu, sempena lawatan bersama PM Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya Abhisit Vijjajiva PM Thailand ke Bengnara pada 9 hb Disember lalu, lawatan tersebut yang dianggapkan sebagai lawatan yang cukup berani di kawasan yang dipenuhi dengan serangan letupan luar jangkaan dan ia juga dianggap sebagai bersejarah oleh ramai pemerhati. Apakah motif dan mesej yang ingin disampaikan oleh pejuang-pejuang pembebasan Patani di sebalik serangan bertalu-talu yang disertakan dengan mesej bertulis yang belum pernah dilakukan sebelum ini dalam era terbaru perjuangan Patani masa kini.

Mesejnya adalah jelas ditujukan khusus kepada keangkuhan Abhisit dan Timbalannya Suthep Thaugsuban yang terang terangan tidak mahu mengakui kewujudan pejuang-pejuang Patani dan tidak bersedia langsung untung berunding dengan mereka.

Pada petang 8 hb Disember 2009 iaitu sehari sebelum ketibaan PM Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak ke Bengnara satu letupan bom telah berlaku di sebuah pasar sayur 1.5 km dari Hotel Royal tempat di mana para delegasi akan makan tengahari di situ, dan pada waktu malamnya pula satu lagi letupan berlaku di Taba. Letupan-letupan tersebut adalah untuk memberi amaran keras kepada mereka berdua bahawa jangan memandang rendah terhadap kemampuan dan kebolehan para pejuang, mereka boleh melakukan serangan lebih dahsyat dari itu kalau mereka inginkan walaupun dalam keadaan kawalan yang begitu ketat sekali. Sebelum ini mereka berdua selalu mengatakan kepada dunia bahawa keadaan di Patani adalah terkawal dan sudah bertambah baik. Maka kejadian tersebut membuktikan sebaliknya yang berlaku.

Bukan setakat bom dengan bunyinya dan kesannya terhadap fisikal manusia yang berlaku, malahan buat pertama kalinya para pejuang pembebasan Patani menyampaikan mesej mereka melalui kain-kain rentang yang dipasang di seluruh pelusuk Patani pada malam 8 hb Dicember, di mana perkara seperti ini tidak pernah diguna pakai oleh para pejuang sebelum ini dalam perjuangan terkini. Di antara yang di tulis ialah:

“Fatoni sebahagian daripada Malaysia” “kami akan tuntut hak kami dengan mati-matian” “Kami akan bela darah kawan kami yang.telah syahid” . Kebanyakan kain rentang ini di pasang di wilayah Bengnara. Oleh itu ramai pemerhati berpendapat mesejnya ditujukan kepada PM Malaysia, untuk mengatakan bahawa tanah Patani ialah kepunyaan orang Melayu yang sebangsa dengan Malaysia, mereka sanggup gugur syahid untuknya, maka diharap berilah apa-apa yang dirasakan baik kepada orang Melayu Patani, tapi ingat Patani ada tuannya tidak boleh dibuat sembarangan, merekalah yang berhak menetukan baik buruknya orang lain hanya boleh membantu kalau mereka ingin.



Pada 9 hb December sebanyak 13 kejadian letupan dalam satu hari, tidak satupun berlaku di Bangnara tapi di wilayah Jala dan Patani yang mengakibatkan 3 kematian dan 13 cedera.

Petikan dari : http://www.pataninews.net/ReadMelayu.asp?ID=444