Fasa 1:
“Malaysiakini jarang bohong!” demikian komen seorang bloger melalui SMS kepada saya apabila saya melepas senak kepala dan sesak nafas apabila membaca berita dalam Malaysiakini 17 Jun 2009, jam 11.14 pagi tentang press conference Dato’ Mustafa Ali kata tentang Kerajaan Perpaduan mesti libatkan DAP dan PKR.
Saya telah SMS kepada semua pemimpin Pas, AJK, Menteri Besar dan ahli semampu yang saya dapat nombor telefon. Saya tulis begini:
“Jika betul berita Malaysiakini, Mustafa Ali kata libatkan sama PKR,DAP dalam Kerajaan Perpaduan , ertinya Pas nak juga berpadu dengan Umno? Cis! Tahi kucing lebih wangi” -Azizi Hj Abdullah.
Saya dapat jawapan. Di bawah saya perturunkan komen mereka:
1. ‘Ustaz Hadi lantik Cikgu Pa bukan nak menangi hati rakyat, tapi nak jadi ayam tambatan hadapi Nik Aziz. Apa punya visi pemimpin Pas sorang ni? Ahli jadi pening. Terasa sangat kehilangan Ustaz Fadzil Nor.”’1:26 ptg.
2. “Ana rasa maklumat Malaysiakini pun jangan dipercayai penuh. Fitnah ke atas PAS n PR yang akan datang lebih dahsyat. Umno-BN berhempas pulas nak wujudkan supaya PR hancur. Baru depa puas.”-1:29 ptg.
3.’Harap baca Berita Harian muka depan. Pelag punya Pas.’ 1:08 ptg
4. Jarum Halus Umno sudah jalan- jaga-jaga.’-2:02 ptg.
5.Betul Dato’ Pa buat PC tanpa consult naib-baib presiden.’ 2:39 ptg.
6. ‘Aku tak faham sesetengah sikap pemimpin. Lagi pun kita tidak dapat maklumat tepat. Surat khabar semua pro Umno. Nanti laporan Harakah dan Keadilan.’-1:13 ptg.
7. ‘Nanti nak baca dulu, tak buka internet lagi kalau betul memang karut betul.’ 2:28
8. ‘Silat pulut saja.’-1:15 ptg.
9.’ Pas akan hancur selagi ada Hadi, Nasha dan Pa Ali. Puak-puak ni jugalah yang hancurkan kerajaan Pas Terengganu…mangkok hayun semua tu. Pakat-pakat gila kuasa.’ 1:16 ptg
10. ‘Cakap kat Mustapa Ali, hebah kepada seluruh negara saya teringin nak jadi menteri. Habis cerita. Kita boleh buka buku baru tentang puak-puak yang kelihatan begitu laparkan pangkat ni. Dan jangan teruskan semua lagak dan perangai Mustapa Ali dan kroni ni. Sekarang pun dah timbul rasa was-was dan pelbagai fitnah. Boleh kalah Manik Urai.”
Catatan: Semalam jumpa Khalil Idham Lim, solat maghrib di surau saya. Katanya, ada perentah tertinggi, orang lain dari Kelantan tak boleh kempen di Manik Urai. Takut cakap lain dari loghat Kelantan, orang Manik Urai tak faham.
11. ‘Bagus cakap macam tu. Puak-puak ni lapar nak jadi menteri.’ 1:15 ptg.
12. ‘Ingat kot orang Kelantan saja yang meluat, rupa-rupanya orang Kedah juga serupa,’ 1:26
Fasa II:
Kerana saya bukan Subky Latif, saya tak mampu ingat tarikhnya. Tapi saya masih ingat peristiwa. Satu hari saya membawa Almarhum Tn.Hj Yusuf Rawa, Presiden Pas ketika itu hendak solat Jumaat di Masjid USM. Saya tak buka pintu kereta ketika beliau hendak turun. Dengan berseloroh beliau buat-buat marah kepada saya:
‘Bukalah pintu . Perdana Menteri ni nak turun!’ katanya dengan ketawa.
Saya berkata; ‘ Maaf ustaz, saya tak suka Pas menang. Biar macam ini pun cukup.’
Hj.Yusuf Rawa marah. Katanya: ‘Awat, hang pikiak Islam ni hak Pas sajakah?’ (Ketika itu pun ada ura-ura tentang perpaduan macam inilah)
Saya jelaskan, saya mahu jihad orang Pas berterusan dan berkobar-kobar. Kalau menang, kita tak mahu berjihad lagi, asyik rebut kuasa nak jadi pemimpin.
Fasa III:
Memang media menjadi kesangsian kita hendak percaya jika ada laporan dari Pas. Tapi jika di antara kita yang meneliti laporan media, seperti kata pengulas salah seorang bloger kepada saya, Malaysiakini agak boleh diterima.
Soalnya seperti yang saya pernah tulis dulu. Pemimpin Pas, lambat sua mikrofon, ada-ada saja nak buat kenyataan. Adakah kenyataan Mustafa Ali tentang Kerajaan Perpaduan ini dikilas atau tak betul. Kalau tak betul bacam mana berita ini boleh keluar dan dari kenyataannya juga?
Mustafa Ali pernah beri amaran, soal Kerajaan Perpaduan jangan ditimbul lagi sebelum Manik Urai selesai. Tiba-tiba beliau yang gatal mulut.
Kita bukan menentang perpaduan. Tidak. Tapi sejarah dan pengalaman sudah mengajar kita. Apapun buatlah keputusan secara berjemaah, bukan seorang, bukan dua orang. Tuan Guru Haji Hadi dilihat sekarang sebagai Presiden yang tidak mempunyai kekuatan politik tetapi hanya berilmu tinggi dalam hal agama.
Maka kerana itu beliau sudah diperalat dengan golongan cerdik pandai, yang kononnya dihebuh sekarang sebagai profesional, cerdik pandai.
Dengar khabar, kerana angkara ini Pas mungkin mengadakan Muktamar Khas. Bayangkan kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru.
Perpaduan memang bagus tetapi apa yang digila-gilakan oleh kumpulan ‘G7’ ini tidak mengikuti dasar. Lakukanlah kalau dasar begitu dan lakukanlah jika keputusan berdasarkan dasar Pas.
Memang tidak ada apa-apa kenyataan akhbar itu. Tapi bacaan politik lain. Disebalik itu ada sesuatu dan yang jelas Mustafa telah termakan puji bajak wangkang Perdana Menteri yang mengatakan niat Pas ikhlas.
Kita sebenarnya masih bangang dalam helah politik. Kononnya kerana Islam itu baik, telus, tidak dendam, baik sangka, pemaaf, berpadu, maka kita boleh buat apa saja kerana kita ini Islam.
Betulkah? Yang betul ialah bagi mereka yang tidak mahu Islam, melakukan sesuatu yang tidak Islamik dan yang tak betul ialah kita yang mahukan Islam, tetapi tidak Islamik.
Kita selalu membuat ukuran dalam politik mestilah ulama maka atas nama ini ditekanlah pula mesti kena walak. Walhal berapa ramai pemimpin yang tidak ulama, tidak Islam yang melakukan kerja politiknya lebih dari ulama.
Yang penting dalam politik ialah cerdik, bervisi, berwawasan manakala agamanya yang penting ialah mengawal visi, wawasan dan cerdiknya, diperkuat dengan kealimannya dan kewarakannya. Bukan kealiman dan keulamakan tetapi tidak punya wawasan, cerdik dan pintar.
Sekarang berlaku satu fenomena tradisi, iaitu apabila soal-soal kepincangan dalam Pas selalunya pemimpin menyalahkan media. Di pujuk ahli-ahli bawahan, jangan percaya media. Media musuh kita. Tetapi dalam masa yang sama beberapa hal yang berlaku, yang boleh melemahkan perjuangan dan semangat ahli dilakukan oleh mereka yang berpesan kena berhati-hati dengan media jugalah..
Jangan percaya kepada mediakah, kalau pihak atasan panggil media buat kenyataan. Jangan percaya kepada mediakah, kalau ada pemimpin yang sengaja tarik tangan repoter, minta siarkan kenyataan mereka? Tak percaya kepada media lagikah, kalau ada pemimpin yang syok nak jengol muka dalam TV walaupun ruangan itu perangkap atau menjeratkan mereka?
Kita kesal kerana soal yang diucapkan oleh Mustafa Ali soal dasar, soal yang bukan boleh diucap di depan dua pemberita tetapi ia mesti melibatkan kepusan jemaah atau jawatan kuasa pusat.
Jangan salahkan ahli-ahli jika ada tuduhan kegilaan ini adalah kegilaan mahu jadi menteri tidak penuh atau menteri penuh. Apakah Pas beranggapan atau penuh yakin ( bagi yang mahukan Kerajaan Perpaduan) jika berlaku Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Hj Hadi akan jadi Timbalan Perdana? Mustafa Ali mungkin jadi Menteri Dalam Negeri atau lain-lain jadi menteri sepenuh masa?
Ditakdirkan jika diseret sama PKR dan DAP, redakah Pas dengan hati telus mulus, mardhotillah melihat Dato’ Sri Anuar Ibrahim jadi TPM, Karpal Sing jadi Ketua Hakim Negara, Lim Kit Siang jadi Menteri Undang-undang. Ketika itu Pas akan berontak lagi. Ketika itu tentu ayat Qur`an tentang amanah, zalim dan munafik terus di baca.
Mahukah dan relakah pula dengan hati yang bersih, atas nama berjuang kerana Allah, Setiausaha Agung Pas akan jadi Setiausaha Agung Kerajaan Perpaduan manakala yang lain menjadi timbalan menteri? Atau bermimpikah Presiden Pas akan menjadi Perdana Menteri?
Hua...hua...hua....demikian ketawa Etong dalam Wayang Kulit Asun.
Sangat malu dan memalukan jika Pas yang didakwa parti yang mendukung Islam, yang kepala masamnya terdiri dari ‘ulama’ tiba-tiba antara Mursyid dengan Presiden tak sekata, Setiausaha dengan AJK tak sebulu. Nak melawan dikatakan tidak walak. Berdosa dijadikan alasan ‘tidak boleh melawan’.
Perkembangan terakhir yang kita dapat tahu, alangkah kecewannya sebanyak 8 cawangan di Perak yang hendak menyerah borang keahlian Pas, ditangguh kerana ‘Chaos’ kerana pengamal ‘Chaosophy’ kerana ‘Criminalis Perfectus’ yang membawa kepada ‘Ekstasi’ dan akhirnya menuju kepada konsep ‘Libodo politik’.
Tuhanku, maafkan hambaMu jika pemikiran ini salah.
Kali ini saya malas nak bercerita dan mengetuk panjang hanya copy dan paste dari block saudara Azizi bin Abdullah untuk renungan semua.
buat pak azizi abdullah. Menulis bukan semata-mata semua yang terbuku di hati. Tapi menulis biarlah buat mencerah. Jangan kita menari dengan gendang kecapi media sekular yang makin rancak memasuki fasa klimaks menghancurkan jemaah ISLAM yang satu ini.
BalasPadam