
Translate
INGIN MEMANCING DI LAUT CINA SELATAN
Khamis, 27 Ogos 2009
CERITA DARI LIM SOO NEE
ADUN Kulim, YB Lim Soo Nee mendedahkan percubaan untuk merasuah ADUN Pakaran Rakyat supaya melompat ke Barisan Nasional.
HENTIKAN CAMPUR TANGAN KERAJAAN DALAM KES SYARIAH

Rentetan kekecohan yang berlaku dalam isu sebatan Kartika Sari Dewi Shukarno, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memandang serius perkara tersebut kerana ia telah menjejaskan reputasi Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam dan pihak-pihak berkaitan.
PGSM dengan ini menyatakan pendirian dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:
PGSM kesal dengan apa yang berlaku kerana akhir-akhir ini menampakkan unsur campur tangan pihak kerajaan dalam proses kehakiman di negara ini terutama kehakiman syariah semakin menjadi-jadi.
Bermula dengan unsur campur tangan kabinet dalam menentukan agama anak pasangan yang memeluk Islam dan terbaru dalam isu sebatan Kartika Sari. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam era 1Malaysia, Pencapaian Didahulukan, Rakyat Diutamakan.
Campur tangan kerajaan dalam sistem pentadbiran kehakiman syariah perlu ditamatkan segera. Persoalan timbul, mengapa menteri-menteri kerajaan terlalu gemar memberikan komen terhadap kes-kes di Mahkamah Syariah sedangkan terdapat kes-kes di Mahkamah Sivil yang lagi teruk dan dangkal.
Sebelum ini terdapat kes di Mahkamah Sivil ada seorang hakim yang memutuskan bahawa dia sendiri yang akan menghukum pesalah, tetapi kes tersebut tidak pula dipolemikkan, dan tidak ada pula menteri yang memberikan komen.
Pihak kerajaan termasuk menteri-menteri wanita Islam tidak sepatutnya memberikan komen terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Syariah.
Ia suatu tindakan biadap mencabar, mempertikaikan dan menghina keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan Mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.
Penghakiman yang dibuat oleh Hakim Abdul Rahman Yunus adalah atas dasar menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang sedia ada, dan atas dasar melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Menurut peruntukan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, mahkamah mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 sebatan.
Kerajaan sepatutnya memberi perhatian dan menumpukan usaha ke arah memperbaiki infrastruktur, pentadbiran dan proses pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Syariah, seperti ketiadaan tukang sebat Syariah, ketiadaan penjara khusus untuk menempatkan pesalah Syariah, ketiadaan panel rayuan di beberapa buah negeri dan sebagainya.
Telah 52 tahun negara merdeka dan telah 52 tahun Perlembagaan Persekutuan wujud, namun perkara-perkara ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan.
Mahkamah Syariah dianaktirikan sedangkan Mahkamah Syariah adalah tempat di mana orang Islam yang sebahagiannya mengundi kerajaan semasa pilihanraya, berurusan dan mengadu masalah rumahtanga, harta dan lain-lain.
Masalah ketiadaan tukang sebat bukanlah suatu isu yang besar kerana kerajaan boleh melatih tukang sebat sivil untuk melaksanakan sebat menurut syariah.
Kartika Sari adalah sebahagian masyarakat Islam yang menjadi mangsa akibat sikap anak tiri dan sikap kerajaan yang tidak sensitif dan tidak boleh dijangka terhadap kehendak dan keperluan masyarakat Islam di negara ini.
Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik dan segera, dengan memberi penjelasan kepada masyakarat bahawa:
Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan hingga 80 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat.
Dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan.
Golongan aktivitis wanita lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan wanita dan kesamarataan taraf antara lelaki dan wanita. Mengapa dalam isu ini hendak dibezakan pula taraf antara lelaki dan wanita dari segi pelaksanaan hukuman jenayah?
Pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Sivil.
Enam kali sebatan menurut syariah tidak sama dengan hatta satu sebatan menurut undang-undang sivil. Alat sebatan yang digunakan untuk kes syariah hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.
Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki disebat berdiri, manakala perempuan dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.
Artikel ini diterbitkan daripada kenyataan media Musa Awang, timbalan presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
KOMEN
NO KOMEN TEPUK DADA TANYA JIWA,HATI DAN PERASAAN
SEHARI PUASA DI KUALA ROMPIN
Rabu, 26 Ogos 2009
KARTIKA SARI DEWI TETAP MENUNGGU HUKUMAN, TIDAK AKAN MEMBUAT RAYUAN

Kartika tetap tunggu hukuman sebat, tidak mahu kemuka rayuan
SUNGAI SIPUT: Kartika Sari Dewi Shukarno tetap dengan keputusannya tidak mahu mengemukakan rayuan dan nekad menunggu pelaksanaan hukuman sebat kerana meminum arak dijalankan terhadap dirinya menjelang Aidilfitri ini.
Kartika Sari Dewi, 32, berkata beliau akan menunggu keputusan secara hitam putih daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung kedudukannya berikutan penangguhan hukuman itu bagi menghormati bulan Ramadan.
"Mereka (JAIP) kata selepas Ramadan, takkan saya mengatasi tindakan mereka. Biar JAIP mengeluarkan dan membuat keputusan hitam putih. Saya tetap macam ini, dengan keputusan saya dan tunggu keputusan JAIP. Ini keputusan saya. Saya beri masa kepada JAIP (untuk melaksanakan hukuman sebat), selepas Ramadan ini kita lihat macam mana," katanya ibu kepada dua anak kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
KOMEN
Syabas Kartika Sari Dewi, Keinsafan, kesedaran di doakan kepadamu, Hudud bermula dari mu, biarlah rakyat Malaysia membahaskannya, Disinilah peranan cerdik pandai Agama Islam memutuskannya. Walaupun hukuman sebat tidak setepat hukum hudud, tetapi kamulah permulaan, siapa mahukan hukum hudud dan siapa yang menolak hukum hudud rakyat malaysia khasnya umat Islam dapat melihat.
BAS EXPRESS TERBAKAR DI BATU 15 JALAN ROMPIN/PEKAN
Selasa, 25 Ogos 2009
KARTIKA AKAN DISEBAT SELEPAS BULAN PUASA ?

Norhayati Kaprawi, aktivis wanita Muslim, pernah bertugas pengurus program Sisters in Islam (SIS) selama empat tahun. Penulis juga aktif bersama Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI)berkata
Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari atau Islam 'hududi'?
Apapun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.
|
Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno (foto) tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu. Tambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap model sambilan itu. Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam. Namun, apabila timbul masalah sebenar dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam-kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu. Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.
Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksimum?
Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia?
Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut-peragut yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian. Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya. Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal. Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara tujuh hari di penjara Kajang?
Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan agama Allah dan menegakkan negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan? Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum seseorang yang mencuri akibat kemiskinan.
Lupakah mereka tentang pesanan Allah: "Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Maaidah: 39).
Malah, banyak lagi ayat Al-Qur'an yang memberikan peringatan yang sama seperti An-Nahl: 119, Al An'aam: 54, dan An Nahl: 125.
Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya?
Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan Kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.
Apakah layak Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?. Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperikemanusiaan ini ke atas Kartika?.
KOMEN
Sama-samlah kita fikir bersama demi maruah melayu yang menganut agama islam.