MULAKAN DENGAN

MULAKAN DENGAN

klik disini

Translate

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

INGIN MEMANCING DI LAUT CINA SELATAN

Rabu, 30 Disember 2009

ALFATIHAH GUS DUR MANTAN PRESIDEN INDONESIA MENINGGAL DUNIA


Mantan Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid, 69,yang lebih dikenali sebagai Gus Dur meninggal dunia di Rumah Sakit CiptoMangunkusumo (RSCM) di Jakarta pada kira-kira pukul 6.45 petang waktu Indonesia Barat, ahli politik Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) Ali Masykur Musa mengesahkankepada Bernama hari ini.

GERHANA BULAN SEPARA MALAM JUMAAT INI


Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku Jumaat ini 1 Januari 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431H bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi.

"Gerhana ini dijangka berakhir pada pukul 5.28 pagi. Gerhana yang jelas hanya dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu dari pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum," kata kenyataan itu.

Sehubungan fenomena itu, masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.

Ekoran gerhana yang berlaku semasa cuti sambutan tahun baru 2010, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semula jadi itu dan turut serta menunaikan solat sunat khusuf yang akan diadakan di Masjid Negara.

"Program yang merupakan anjuran bersama Masjid Negara, Jakim dan Agensi Angkasa Negara itu bertujuan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Islam," kata Jakim. - BERNAMA

Isnin, 28 Disember 2009

CUKAI PERKHIDMATAN UNTUK PEMEGANG KAD KREDIT


KUALA LUMPUR: Pemegang kad kredit boleh menjangka melihat jumlah cukai perkhidmatan yang patut dibayar dalam penyata mereka secara berasingan, yang mana dikenakan cukai semasa pengeluaran, pada tempoh genap setahunnya, atau semasa diperbaharui.

Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) hari ini berkata, sekiranya kad kredit baharu dikeluarkan tahun depan sah bagi satu tahun, cukai perkhidmatan RM50 akan dikenakan pada tarikh ia dikeluarkan.

Bagaimanapun, jika kad baharu dikeluarkan bagi tempoh lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh pengeluaran dan setiap tarikh genap setahun berikutnya.

Bagi kad sedia ada yang sah untuk lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh genap setahun pengeluaran bermula 2010.

Ini kerana cukai perkhidmatan RM50 yang akan dikenakan bagi setiap kad utama dan RM25 ke atas setiap kad tambahan hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan,seperti yang diumumkan dalam Bajet 2010.

Persatuan itu berkata, cukai perkhidmatan tersebut tidak terpakai bagi kad-kad lain termasuk kad debit, kad petrol, kad caj, kad kesetiaan dan e-wangseperti "Touch n' Go". - BERNAMA

Ahad, 27 Disember 2009

KATAK BERTANDUK DI KEDAH




KATAK GANJIL.... Seekor katak ganjil yang mempunyai seakan-akan tanduk di kepalanya menjadi tumpuan orang ramai di sekitar daerah Baling.

Katak berwarna kelabu ini ditemui seorang pemanjat gunung Mohd Khir Johari Mad Zin, 45, ketika mencari hasil hutan di Gunung Baling pada 26 Disember lalu.

Mohd Khir memberitahu , beliau tidak menyangka spesis yang ditemui itu katak, kerana tidak pernah menemuinya sebelum ini walaupun telah lama mendaki Gunung Baling.

Katak seberat hampir 300 gram itu tidak diketahui jenisnya itu kini disimpan di dalam balang kaca di rumahnya di Bengkel IKS KEDA Baling.

Walaupun ada pembeli menawarkan harga lebih RM200 untuk membeli katak itu namun beliau enggan menjualnya kerana mahu pihak tertentu membuat kajian lanjut mengenai spesies katak itu.

Malah beberapa penduduk warga emas yang ditemui di sini mengakui tidak pernah melihat katak seperti itu sebelum ini walaupun sering mendaki Gunung Baling untuk mencari pokok Paku Aji dan tumbuhan untuk ramuan ubatan tradisional. Bernama

Sabtu, 26 Disember 2009

KATAKAN TAK NAK PADA ROKOK


KUALA LUMPUR: Mulai Jumaat ini harga minimum rokok ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, dikira pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

"Ini menjadikan harga minimum bagi paket yang mengandungi 20 batang rokok ialah RM6.40, 21 batang rokok (RM6.70), 22 batang rokok (RM7.05), 23 batang rokok (RM7.35), 24 batang rokok (RM7.70) dan RM8 bagi paket yang mengandungi 25 batang rokok," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang sabit kesalahan melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Liow berkata dengan berkuatkuasanya peraturan itu juga semua syarikat rokok dikehendaki mengisytiharkan senarai harga jualan runcit produk keluaran mereka kepada kementerian sebelum 15 Januari ini.

Katanya semua rokok di pasaran tempatan hendaklah dijual pada harga tidak kurang daripada harga minimum rokok dan notis harga minimum itu hendaklah dipamerkan secara jelas di kaunter jualan tanpa logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi berkaitan rokok yang dijual.

Liow juga berkata penjualan rokok pada harga yang lebih rendah adalah dilarang bagaimanapun syarikat rokok dibenarkan membuat pelarasan harga hanya sebanyak tiga kali setahun dan perbezaan harga tidak boleh melebihi 5 peratus.

Menurutnya peraturan itu juga melarang penjualan rokok yang mempunyai label "diskaun, harga istimewa, tawaran istimewa, promosi, promo, edisi terhad dan tawaran" atau apa-apa perkataan lain yang membawa erti diskaun atau jualan murah berbanding harga jualan runcit pada bungkusan atau label rokok atau tempat jualan rokok tersebut.

Liow berkata tujuan peraturan itu dikuatkuasakan adalah untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutamanya oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

"Demi menjaga kepentingan kanak-kanak dan remaja dari terjebak dengan ketagihan rokok dan seterusnya kemungkinan risiko menyalahgunaan dadah dan penularan penyakit-penyakit kronik, kerajaan komited untuk mengambil pendekatan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok oleh golongan ini," katanya.

Liow berkata banyak kajian sama ada dari dalam mahupun luar negara membuktikan bahawa peningkatan cukai dan harga rokok mampu mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat terutamanya di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

"Hasil kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia akan dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok 3.8 peratus," katanya. BERNAMA

SAMBUTAN HARI NATAL BERTUKAR MENJADI KEGANASAN


GEORGE TOWN: Hiruk-pikuk sambutan Hari Natal malam tadi bertukar menjadi ganas apabila dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dibelasah teruk dan diserang dengan topi keledar oleh orang ramai yang sedang berpesta di sini.

Seorang jurukamera Bernama TV turut menjadi mangsa apabila dia ditumbuk pada bibir dan wartawan bertugas ditolak oleh pengunjung yang asyik berpesta sementara motosikal dan kenderaan yang melintasi Persiaran Gurney itu turut disembur dengan buih aerosol.

Pasukan petugas khas terpaksa campur tangan apabila sambutan yang disifatkan terburuk pernah berlaku di Pulau Pinang itu semakin tidak terkawal.

Sekumpulan lelaki yang terdiri daripada 10 orang tiba-tiba membelasah anggota Rela yang sebelum itu menahan rakan mereka kerana menyembur buih aerosol kepada pemilik kenderaan yang lalu dikawasan itu.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 12.30 malam itu, kumpulan lelaki itu bertindak ganas menendang dan menumbuk anggota Rela terbabit dalam percubaan menarik rakan mereka yang dalam lingkungan 20-an dari ditahan.

Serangan berlaku apabila anggota dan polis yang berpakaian preman sedang membawa suspek ke balai polis berdekatan.

Kejadian yang berterusan beberapa minit itu bagaimanapun berakhir apabila sekumpulan anggota Rela, polis dan pasukan petugas khas datang membantu mangsa dari terus diserang.

Kedua-dua mangsa mengalami lebam pada badan dan mengadu berasa pening selepas serangan itu.

Sementara orang awam yang melintasi jalan terkejut dengan situasi tersebut.

Terdahuluh wartawan bertugas diasak oleh pengunjung liar yang leka berpesta. Mereka kemudiannya diiringi angota polis keluar dari tempat kejadian.

Jurukamera Bernama TV, Gary Yeap, 20, yang membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani mendakwa dia ditumbuk dibibir.

Yeap turut melaporkan seorang lelaki mengugut untuk mencederakannya jika rakaman yang dibuat disiarkan di kaca televisyen.

Pada malam kejadian, ribuan pengunjung memenuhi kawasan popular di Pulau Pinang itu bersikap liar selain trafik juga menjadi buruk apabila pengunjung memenuhi jalan raya.

Kebanyakan mereka terutamanya anak-anak muda memegang tin semburan buih dan menyemburnya pada cermin kereta dan penunggang motosikal yang lalu di situ.

Ada di antara mereka mengangkat pengelap cermin kereta untuk mengelak pemandu mengelap semburan pada tingkap kereta mereka.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Gan Kong Men berkata, seorang pekerja kilang berusia 17 tahun ditahan selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, lima sekatan jalan raya telah dilakukan oleh pasukan polis pada hari itu supaya keadaan terkawal.

Gan berkata pihak polis sentiasa bersedia dengan kejadian seperti ini apabila sentiasa meletakkan unitnya pada tempat-tempat yang menjadi tumpuan terutamanya pada malam tahun baru.

Isnin, 21 Disember 2009

DI TERANGGANU BUKAN SAJA BANGUNAN RUNTUH DEWAN UNDANGAN NEGERI PUN PANAS


KUALA TERENGGANU:Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sebelum ini disifatkan agak lesu, hari ini bertukar rancak dan sekali sekala keadaan menjadi agak panas dengan soalan yang bertubi-tubi daripada penyokong kerajaan sendiri.

Semasa sesi soal jawab hampir satu jam pada hari pertama persidangan, beberapa soalan yang diajukan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said, menyebabkan keadaan sedikit tegang dan kadangkala sindir-menyindir kedengaran dalam dewan melibatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sendiri.

Sesi soal jawab pagi ini dimulakan dengan soalan daripada Din Adam (BN-Bukit Besi) yang mahukan penjelasan berhubung nama syarikat pengendali bijih besi di Bukit Besi dan manfaat kepada rakyat tempatan.

Menjawab soalan itu, Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat untuk melakukan perlombongan bijih besi di Bukit Besi yang terletak di Dungun.

Beliau berkata dengan pembukaan semula kawasan perlombongan di kawasan itu, ia dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 peratus daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Din minta penjelasan tentang nama syarikat yang dilantik dan kemampuannya selain mempertikaikan sama ada benar syarikat tersebut melantik 50 peratus rakyat Terengganu menjadi tenaga kerja situ.

"Saya hanya tahu mengenai pembukaan kawasan lombong itu melalui pekerja kawasan itu. Saya orang Bukit Besi, duduk di Bukit Besi dan menjadi wakil rakyat Bukit Besi tetapi tidak tahu menahu tentang perkara tersebut," kata Din.

Ahmad kemudian membalas, kerajaan Terengganu bercadang untuk membuka semula kawasan perlombongan di kawasan itu setelah perunding yang dilantik mengesahkan masih terdapat lima juta metrik tan bijih besi di situ.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri telah melantik tiga syarikat untuk mengendalikan pajakan selama lima tahun iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Shd Bhd yang kesemuanya beralamat di Terengganu.

Ahmad kemudian menyindir Din dengan menyatakan wakil rakyat itu kerap tidak hadir pada persidangan dewan dan jarang menjejakkan kaki di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyebabkannya tidak mengetahui pembangunan di kawasan sendiri.

Pertikaman lidah turut melibatkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) apabila beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad berkata beliau melihat perubahan pada persidangan kali ini sebagai satu petanda baik.

"Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan... seolah-olah sebagai parti pembangkang... tapi kita tidak kisah.

"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," katanya.

DUN Terengganu mempunyai 24 anggota BN dan lapan daripada Pas. - BERNAMA